Thursday 17 March 2016

Nilai Sebenar Teknologi (Bahagian 2)



Adapun tujuan manusia mengkaji adalah untuk memperbaik keselesaannya, memperelok kualiti kehidupannya. Manusia sesungguhnya mementingkan aspek nilai dalam segenap pengalamannya. Seperti yang dicadangkan oleh kajian psikologi dan kemanusiaan, pengalaman mempengaruhi kepercayaan seseorang individu terhadap sesuatu perkara di alam ini. Misalnya jika pengalaman berulang kali adalah tentang tercemarnya sungai dan laut di Malaysia tempat orang ramai singgah beriadah, kepercayaan yang mungkin dibentuk adalah tentang salah pengurusan jabatan yang berkaitan atau tentang kelemahan penguatkuasaan undang-undang pemeliharaan alam sekitar.

Sains adalah landas ilmu. Sains, dalam satu daripada beberapa prosesnya, memerlukan kita membuat pemerhatian secara teliti ke atas alam ini. Pemerhatian tersebut dibuat demi mengambil ilham untuk sesuatu penciptaan untuk kemudahan hidup atau sekurang-kurangnya pemerhatian itu demi mengenalpasti sesuatu corak. Hal ini berlaku dengan kemahiran menafsir - satu daripada kemahiran-kemahiran proses otak atau disebut juga kemahiran-kemahiran proses sains. Penciptaan yang berlaku setelah proses-proses sains misalnya yang disebutkan tadi seperti memerhati dan menafsir, melahirkan produk yang disebut teknologi.

Maka, kemuncak kepada penciptaan manusia yang disebut teknologi, yang merupakan ekstrak pengetahuan daripada pemerhatian ke atas alam sekeliling, ialah 'nilai' yang ditawarkan kepada manusia. Teknologi sesungguhnya memudahkan pekerjaan manusia sehari-hari. Teknologi juga membantu menjimatkan masa atau membolehkan impian manusia yang agak mustahil untuk diimpikan suatu zaman dahulu - misalnya keingingan membina bangunan setinggi satu kilometer, atau mencipta robot yang boleh menggantikan pembantu rumah manusia untuk had keanjalan (flexibility) yang lebih baik - untuk direalisasikan.

Jika difikir-fikir dengan mendalam, adalah ironi sebenarnya bahawa manusia yang menekankan soal kebolehukuran sebagai unsur logikal dalam penerimaan sesuatu kepercayaan, meletakkan perkara 'nilai' yang tidak dapat diukur secara kuantitatif sebagai tujuan muktamadnya. Tidakkah kita merasakan kepelikannya tentang hal ini?

Manusia biasa mencanggahi dirinya sendiri.

Setiap manusia mempunyai keinginan dan keinginan inilah yang memandu tindakannya - sama ada baik atau buruk.

Nilai yang kita perbincangkan ini sebenarnya adalah kepuasan yang kita semua dan manusia seluruhnya impikan. Kerana itulah kita melukiskan mimpi-mimpi yang indah, atau dengan bantuan teknologi pada mutakhir ini, berupaya mencipta wayang filem yang membuai lena. Kita semua merindukan tempat asal kita; syurga - tempat yang memberikan kepuasan mutlak dan tertinggi.

*Tamat bahagian 2.

Wallaahu'alam.

Terima kasih kerana sudi membaca post saya.
-Imran Arif

Tuesday 15 March 2016

Perkara Yang Ini Paling Masuk Akal

Perkara ini sangat masuk akal.

Kalau tak makan ada kemungkinan boleh mati. Tapi kalau terlebih makan pun ada kemungkinan untuk mati. Contohnya dapat penyakit ulser perut kalau tak makan dan dapat penyakit obesiti kalau terlebih makan.

Bagaimana pula kalau manusia tiada tempat pergantungan?

Boleh ke teruskan hidup?

Jawapannya ialah masih boleh hidup dan boleh juga mati. Sebabnya manusia tanpa pergantungan kepada sesuatu maka mereka mengalami pelbagai kerumitan. Umpamanya seseorang tanpa kenderaan, maka tak sampailah dia ke destinasi tersebut atau seseorang tanpa adanya bantuan telekomunikasi maka terbantutlah mesej untuk sampai. Tapi masih boleh hidup cuma kurang bermakna. Begitu juga pada tumbuhan, tanpa sumber air dan cahaya pula boleh mati.


Kesimpulannya perkara yang paling masuk akal ialah tanpanya Pencipta, mana mungkin adanya manusia, hubungan, maklumat dan sebagainya.

Oleh itu, bagi saya ini perkara yang paling masuk akal. Adanya Allah SWT, maka adanya saya.

Wallahu`alam.

Thursday 6 September 2012

Nilai Sebenar Teknologi (Bahagian 1)


Ergonomik. Teknologi Insan. Kejuruteraan Insan. Begitulah antara ungkapan-ungkapannya bagi menggambarkan apa yang telah saya perdengarkan kepada ramai orang sejak beberapa tahun yang lalu bahawa Biology is the purpose of science. Jika sains bermaksud ilmu yang diperoleh daripada alam sekeliling menerusi pengamatan dan teknologi bermaksud pengaplikasian pengetahuan tersebut untuk memenuhi keperluan serta kehendak manusia, maka teknologi serta sains mengambil kira apa yang sesuai, selesa, bermanfaat, serta memenuhi keperluan dan kehendak manusia sebagai tujuan kepada sebarang penciptaannya.

Biologi adalah kajian tentang jasad yang mempunyai hayat atau kebiasaannya disebut kajian tentang benda hidup. Biologi adalah satu daripada pecahan-pecahan penting dalam ilmu sains selain Kimia, Fizik, dan Matematik maka ia, setelah berlalunya masa, turut dijadikan suatu bidang atau mata pelajaran yang bersifat autonomi.

Banyak rahsia yang tersimpan pada segenap penjuru alam ini, dirungkai sedikit demi sedikit melalui sikap manusia yang didisplinkan menjadi rantaian pengetahuan. Inilah erti sejati sains. Sains bukanlah suatu ilmu yang semestinya melangit tingginya atau melaut dalamnya. Ia pertamanya merujuk kepada bagaimana manusia mengambil sikap apabila bertemu dengan sesuatu fenomena alam ini sama ada yang telah sedia wujud secara semula jadi ataupun yang diciptakan manusia. Ketika bertemu dengan fenomena-fenomena yang menarik minatnya, manusia mengamati, menterjemah, bertanyakan soalan, membuat jangkaan, dan melaksanakan beberapa lagi kemahiran proses yang berkaitan. Sama ada kemahiran-kemahiran tersebut dipraktikkan dengan lebih teliti misalnya oleh seorang saintis, atau secara asas misalnya oleh orang awam atau kanak-kanak yang sedang membuat penerokaan, setiap manusia tetap melaksanakan proses-proses yang serupa.

*Tamat bahagian 1

Wallaahu'alam.

Terima kasih kerana sudi membaca post saya.
-Imran Arif


Wednesday 11 April 2012

Kerja Yang Paling Sukar


Pernahkah di antara kita, dengan hanya berbekalkan kudrat dua batang tangan, mengalihkan sebuah gunung? Atau pernahkah di antara kita, dengan hanya berbekalkan alat bantuan pernafasan yang minimum, menyelam ke dasar lautan yang paling dalam? Bagaimana pula dengan bekerja sepanjang hayat tanpa sebarang rehat dan tidur? Berapa lamakah pernah kita tangguhkan tidur?

Soalan-soalan di atas memang bunyinya keterlaluan. Manusia kebanyakan tidak akan dapat memenuhi kehendak soalan-soalan sedemikian. Apa yang terkandung dalam soalan-soalan tersebut adalah kemustahilan;  kita sebagai manusia kebanyakan tidak akan sanggup untuk melaksanakannya. Tuntutan-tuntutan hidup secara langsung tidak berkehendak kepada kita untuk menyelesaikan beban-beban yang tidak dapat kita rencanakan - sebagaimana yang dimisalkan menerusi soalan-soalan di atas.

Lalu selanjutnya, mari kita menimbang pula apakah pekerjaan-pekerjaan sukar yang lain yang terkandung dalam julat kemampuan manusia biasa seperti kita. Sukarkah menempuh alam persekolahan dahulu (atau juga sekarang jika kita masih seorang pelajar)? Sukarkah pula menempuh alam pekerjaan? Manakah yang lebih sukar, menjadi seorang pelajar ataukah seorang pekerja?

Jika kita berhasrat untuk menyenaraikan disamping membahaskan dengan teliti setiap pekerjaan di dunia ini yang sukar, tentulah kita akan menemui kegagalan kerana kita akan dikalahkan oleh kematangan yang berkadar dengan masa. Kita tidak dapat hidup di semua zaman. Buah fikiran yang bersumberkan akal kita semata-mata bersifat terhad dan sentiasa saja kita silap dalam membuat penafsiran.

Perbincangan yang memuaskan tentu berkehendak kepada asas persoalan yang waras dan dapat dibina struktur ilmu tersebut hingga ke puncaknya. Persoalannya, mengapa ingin ditanyakan tentang pekerjaan yang paling sukar?

Jika kita ingin mengetahui apakah segala masa, keringat, harta, dan lain-lain milik kita telah dibelanjakan ke jalan yang seharusnya, kita mesti terlebih dahulu mengetahui serta mengambil tindakan berdasarkan soalan "Kerja apakah yang paling sukar untuk dilaksanakan?". Di sebalik soalan inilah terkandungnya rahsia, apakah kita telah bertindak, berfikir, dan berdiam menurut perjalanan ketentuan alam ini. Telahkah kita berjalan 'seiring' dengan kesemulajadian graviti, cahaya, dan tenaga (dan lain-lain kefahaman yang lebih abstrak bagi orang awam)? Telahkah kita berfikir 'seiring' dengan kesemulajadian matahari terbit dari sebelah timur dan terbenam di sebelah barat? Telahkah kita berdiam 'seiring' dengan kesemulajadian umur yang mentertibkan pertumbuhan fizikal, emosi, dan akal kita selama kita dilahirkan hingga ke saat ini?

Ada seratus atau seribu lagi perkataan ilmu yang dapat disusun untuk mengasak minda supaya membawanya ke tingkat ketersusunan yang lebih tinggi. Akan tetapi memadailah kiranya dengan beberapa contoh yang telah dinyatakan di atas. Kadang kala contoh yang sedikit sudah dapat menerangkan jalan. Contoh yang terlalu banyak tidak selalunya membantu perbincangan.

Ya, kita semua berkehendakkan jawapan kepada soalan tersebut. Kita semua tanpa ragu-ragu memerlukan jawapan itu. Jiwa kita mahu tahu, demikian juga dengan akal kita. Soalan "Kerja apakah yang paling sukar" mesti dipenuhi supaya setiap jiwa menjauhi kecewa apabila masa yang telah ditetapkan untuknya berusaha di alam pertengahan ini telah tiba ke penghujungnya.

Berdirinya gunung dengan tujuan. Terbentangnya lautan dengan tujuan. Bertaburan bintang-bintang (atau tersusunnya bintang-bintang) di angkasa juga dengan tujuan. Tidakkah kita berfikir, atau tidak terfikirkah kita?

Apabila seorang guru ditanyakan soalan kerja yang sukar, ia tentu mengakui kesukaran tugas seorang guru. Seorang guru sebenarnya bukan hanya mendidik seorang pelajar, tetapi mendidik bangsa serta keturunannya. Seorang guru bukan hanya mencurahkan ilmu, tetapi mengajarkan susunan cebisan-cebisan alam dalam usaha seseorang pelajar itu mencari 'kebenaran'. Seorang guru berjasa mencorakkan tamadun!

Jika ditanyakan pula seorang penguasa, bukan mudah kerja menegakkan peraturan. Peraturan bukan bertujuan menyekat kebebasan orang, tetapi membentuk keteraturan hidup. Kalau semua orang bebas berbuat menurut kesukaannya, tentulah kehidupan kita seperti di alam rimba. Siapa yang besar dan kuat, dia yang berkuasa. Siapa yang sedikit kawannya, akan tewas kepada yang berpengaruh. Begitulah, dan hakikatnya tugas seorang penguasa boleh jadi adalah suatu tugas yang sukar juga. Seorang penguasa yang baik menegakkan peraturan kerana mendidik masyarakat yang di bawah tanggungjawabnya. Seorang penguasa berjasa mengekalkan peradaban!

Seorang hakim pula, ketika hendak memutuskan ya atau tidak untuk sesuatu pendakwaan, berhadapan dengan saat-saat yang amat sulit kerana keputusannya akan mempengaruhi masa depan seseorang tertuduh itu. Memang benar keputusannya dibantu oleh para saksi serta bahan-bahan bukti namun kepandaiannya harus melangkaui beberapa had yang umum bagi orang-orang lain. Seseorang hakim haruslah 'istimewa' kerana kuasanya menjatuhkan hukuman serta membuat keputusan menggambarkan ilmunya yang luas dan adil terhadap kesalahan-kesalahan yang berlangsung. Kadangkala sesuatu kesalahan itu berlaku disebabkan keperluan-keperluan asas hidup seperti kerana lapar, kerana sakit, dan kerana lari daripada kezaliman. Disebabkan seseorang hakim itu 'istimewa'-lah maka kerjanya sukar. Seorang hakim juga perlu 'bebas' daripada termakan budi supaya keputusannya tidak cenderung kepada emosi. Seorang hakim berjasa mewujudkan malam-malam yang aman di sesebuah negeri!

Kalau diambil secara langsung antara guru, penguasa, serta hakim, yang manakah melaksanakan kerja yang lebih sukar? Jika setelah dibahaskan kita kemudiannya memilih satu daripada tiga pilihan pekerjaan tersebut, bagaimana pula dengan pekerjaan seperti tukang jahit? Tukang jahit juga berjasa kepada masyarakat. Tanpa pakaian yang dijahit elok, anggota masyarakat tidak dapat bekerja dengan baik pula. Tanpa jahitan yang baik, pakaian akan mudah koyak, terlalu besar, atau terlalu kecil. Pakaian juga mempengaruhi kualiti pekerjaan. Jika pakaian seorang askar tidak dijahit dengan baik, urusannya menjaga keamanan tanahair akan terjejas. Bagaimana pula dengan penggembala haiwan ternakan? Kerjanya juga sukar kerana bertanggungjawab menghasilkan ternakan yang sihat sebagai bekalan makanan kepada anggota masyarakat. Kemudian pekerjaan seorang tukang sapu, mudahkah kerjanya? Tanpa seorang tukang sapu, keceriaan hari kita boleh dibatalkan apabila melihat sampah-sampah yang tidak diuruskan. Bukan soal cantik dan indah sahaja, kebersihan juga lebih menjamin kesihatan. Jika seorang tukang sapu tidak melakukan kerjanya dengan sempurna, penyakit mudah datang dan merebak. Dan bagi orang Islam, kebersihan adalah asas dalam beribadat. Maka jika anda rasa pekerjaan seorang tukang sapu atau tukang cuci itu tidak sukar, anda mungkin tersilap meletakkan perasaan.

Begitulah. Dan kita tidak akan selesai berbahas kerana setiap satu pekerjaan itu ada kesukarannya masing-masing. Dan ada perbezaan yang penting apabila kita menyebutkan 'kerja-kerja yang sukar' dengan 'kerja yang paling sukar'.

Kerja yang sukar itu banyak sekali tetapi kerja yang paling sukar itu satu sahaja. Bagi orang-orang yang mempersaksikan bahawa tuhan itu wujud, dengan ilmu ia akan memahami bahawa setiap pekerjaannya itu adalah sebentuk pengabdian atau persembahan kepada tuhannya. Apabila ia bertutur, pertuturannya dijaga kerana disebalik manusia lain yang mendengarkan ucapannya itu, tuhan turut mendengarnya. Apabila ia berkelakuan, ia memastikan kelakuannya terpelihara menurut yang dikehendaki tuhan kerana kelakuannya terhadap orang-orang yang berurusan dengannya itu, disebaliknya adalah urusan dengan tuhan.

Setiap pekerjaan baik sebagai guru, penguasa, hakim, tukang jahit, penggembala haiwan, tukang cuci, serta lain-lain adalah pekerjaan yang diamanahkan tuhan kepada setiap anggota masyarakat. Ada orang bekerja sebagai guru, tugasnya membimbing anak-anak bangsa. Ada orang tugasnya sebagai peniaga, ia memastikan bekalan keperluan-keperluan hidup masyarakat sentiasa dicukupkan.

Kerja yang paling sukar? Adalah kerja yang penuh dengan kesedaran bahawa kerjanya adalah 'bekerja dengan tuhan'. Kerja yang paling sukar adalah bekerja sebagai hamba tuhan, yakni apa sahaja pekerjaan yang dilaksanakan menurut yang telah digariskan oleh tuhan kerana belum tentu kerja yang kita perbuat di dunia ini selama ini adalah kerja yang diredhai tuhan. Bekerjalah sebagai apapun - pemimpin negara, saintis, malah tukang cuci, semuanya perlu muhasabah akan pertemuannya dengan tuhan nanti dan tuhan akan tanyakan kembali tentang pekerjaan-pekerjaan yang dibuatnya di dunia dahulu.

Sesungguhnya kerja yang paling sukar adalah menjadi hamba Allah. Bukan mudah hendak mengekalkan diri dalam batas-batas yang telah ditetapkan Allah antara apa-apa yang disuruh serta apa-apa yang dilarang. Namun jika  berjaya dijiwai kefahaman ini, seorang imam tidak akan hanya mengimami solat di masjid tetapi turut mengimami masyarakat dalam bab kebersihan, toleransi dengan jiran, dan ujikaji-ujikaji ilmu dalam kehidupan. Seorang imam akan memimpin masyarakat dalam semua aspek kehidupan. Seorang tukang cuci pula akan melihat kerjanya bukan sekadar membersihkan sampah dan kotoran, tetapi menyediakan kawasan yang bersih untuk masyarakat selesa mendiami dan beribadat sehari-hari.

Demikianlah, memahami apakah kerja yang paling sukar membantu membetulkan hala tuju kita mencari kebenaran. Memahami hal ini adalah sebahagian usaha, sedang sebahagian lagi terletak pada melaksanakannya.


Wallaahu'alam.

Terima kasih kerana sudi membaca post saya.
-Imran Arif

Sunday 19 February 2012

Perkara Yang Paling Tak Masuk Akal


Anda tentu pernah mendengar dari mana-mana sumber akan soalan yang seumpama ini :

Bolehkah tuhan menciptakan satu dinding yang Dia sendiri tak dapat lompat melepasinya?

Perbahasan kepada soalan ini saya kira terbahagi kepada dua. Ia boleh jadi sangat mudah dan boleh pula jadi sangat rumit dan panjang tak berkesudahan.

Marilah kita membincangkannya secara sederhana dalam ruang dan masa yang terhad (serta had pemikiran yang terhad) ini supaya dapat mencadangkan jawapan yang memuaskan hati.

Pertama sekali, kita perlu selesaikan perkara asas iaitu apakah yang kita istilahkan sebagai tuhan? Kepada siapakah selayaknya kita ‘labelkan’ sebagai tuhan itu, dan apakah tuhan itu sifat-Nya kekal sebagai tuhan kalaupun sesuatu yang lain mencuba menafikan kewujudan-Nya seta kekuasaan-Nya?

Akal yang paling waras tentu sekali-kali tidak akan berdiam diri daripada menyatakan bahawa yang dianggap tuhan itu tentulah sifat-Nya sempurna berbanding apa sahaja yang dimiliki oleh makhluk. Jika sebarang makhluk dapat melihat had dan keterbatasan kuasa sang tuhan tadi, tuhan itu tidak boleh dianggap sebagai tuhan yang mutlak. Kalau ada yang lebih tinggi darjat dan had kuasanya berbanding yang dianggap tuhan tadi, tentulah tuhan itu tidak mampu bertahan untuk menjadi tuhan lagi. Ia akan binasa apabila berlalunya masa.

Maka tuhan setentunya adalah sesuatu yang tidak mempunyai had atau hadnya tidak dapat kita ukur, bukannya sesuatu yang juga terkandung dalam apa-apa keterbatasan termasuklah batas masa. Dengan meletakkan sebutan ‘tuhan’ kepada apa-apa yang kita sandarkan pada-Nya harapan, pengaduan, dan permohonan, sandaran kita itu selayaknya sempurna supaya tidak ada sebarang sandaran lain yang dapat membatalkan kehendak-Nya.

Para saintis pun bersetuju bahawa manusia itu memang secara luarannya berbeza tutur bahasa, warna kulit dan ciri-ciri lain fizikal yang bersifat minor. Namun hakikatnya manusia adalah satu bangsa yang datang daripada asal yang serupa. Apabila bilangan manusia bertambah serta berkembang hingga mengakibatkan penghijrahan, bahasa ibunda terbit satu demi satu supaya memenuhi kesesuaian tempat, cuaca, kehendak, dan kesesuaian tempat baru. Seterusnya bukan sahaja bahasa komunikasi rumpun baru itu akan berkembang, keadaan serta keupayaan fizikalnya, warna mata, kulit dan lain-lainnya akan juga berkembang dalam maksud ia berasimilasi / berharmoni dengan keadaan bumi yang didiaminya.

Jika diperhatikan pula alam ini, bagaimana mungkin banyak sistem (atau lebih tepat lagi, semua sistem) dapat berintegrasi, bekerjasama dan berharmoni jika tuhan yang menciptakan setiap satunya adalah tuhan yang berbeza-beza? Kalau manusia sendiri katakan yang berada di timur diciptakan oleh tuhan timur, yang di barat diciptakan oleh tuhan barat, dan begitulah dengan yang di utara serta di selatan. Bagaimana tuhan-tuhan ini boleh datang kepada satu persetujuan bahawa ‘manusia’ yang ingin mereka ciptakan ini boleh dan/atau perlu sama posisi matanya, tangannya, dan bahagian-bahagian anggota badannya yang lain?

Tuhan yang tulen akan bersifat outstanding, iaitu kekuasaan-Nya akan terpamer melebihi segala yang lain. Jika dalam kes di atas iaitu sekurang-kurangnya ada 4 tuhan yang menciptakan manusia, kebetulan apakah penciptaan kesemuanya sama kejadiannya? Dan dapat pula manusia yang di timur dan di barat serta di utara dan selatan itu saling berkenal-kenalan dan kemudian jatuh cinta selanjutnya berkahwin dan mempunyai keturunan? Kepada siapa pula si anak keturunan itu patut meletakkan sembahan?

Kerana itu di kalangan para pengkaji bintang dan ilmu alam semesta ada yang mengaitkan kejadian manusia itu dengan gugusan-gugusan bintang di langit, hari lahir seseorang dengan untung nasib atau pekerjaan yang sesuai dengannya, membaca emosi serta keserasian alam dengannya, dan pelbagai lagi (walaupun membaca untung nasib berdasarkan bintang itu banyak sekali pengaruh tipu daya syaitan). Mereka yakni para pengkaji sedemikian secara tidak langsung mengakui bahawa alam ini seluruhnya berjalan atas sistem yang satu. Hanya ada satu undang-undang yang ‘mentadbir’ perjalanan seluruh bintang yang di langit, seluruh hidupan yang dibumi, serta seluruh alam ini secara keseluruhannya. Itulah yang dipercayai mereka yang jika dihalusi oleh akal yang sihat akan menjurus kepada persoalan – apakah mungkin tuhan yang wujud itu lebih daripada satu?

Bidang-bidang yang terdapat dalam sains seperti biologi, matematik, kimia dan lain-lain sebenarnya juga bukanlah bidang-bidang ilmu yang terpisah. Kesemuanya adalah ilmu yang satu dan sudah sedia wujud sejak mula lagi. Apabila manusia belajar dan belajar daripada penelitian ke atas alam sekeliling, kematangan akal manusia itu lantas berkembang dan kemudian bidang-bidang ilmu tadi terpisah dan menjadi autonomi. Ia seperti sebiji kek yang besar, kita tidak mampu mengunyahnya sekaligus dan kerana itu ia perlu dipotong kecil-kecil supaya dapat diproses oleh kemampuan badan kita. Demikianlah dengan ilmu yang dipecahkan kepada bidang-bidang yang lebih ranting – supaya manusia dapat membuat pengkhususan dan mengkajinya dengan lebih teliti lagi.

Seorang artis Inggeris yang sangat masyhur iaitu John Lennon pernah dipetik sebagai berkata bahawa “nothing is real”. Dalam bidang falsafah, pernyataan sedemikian boleh ditafsirkan sebagai nilai yang tersirat di sebalik sesuatu. Sebagai misalnya, apabila seseorang telah bekerja keras dan telah dapat mengumpulkan kekayaan, tentulah keadaannya tidak serupa dengan orang yang tidak memiliki apa-apa. Namun, kekayaan yang dikumpulkan oleh orang yang pertama tadi tidak akal kekal selama-lamanya – sama ada ia boleh habis dibelanjakan, atau kepingan-kepingan duitnya akan hancur juga dimakan zaman walaupun masanya tersangat lama, dan boleh jadi apabila suatu ketika nanti sandaran nilai kekayaan manusia sudah berubah kepada objek lain, maka orang tersebut tidak akan dinilai sebagai kaya lagi.

Walaupun pernyataan John Lennon itu ada benarnya dari satu sudut, ia tidak sempurna dari sudut yang lain. 

Barangkali John Lennon terlupa bahawa satu-satunya perkara yang kekal konsisten kerana berada di luar batas masa dan tempat – adalah tuhan itu sendiri. Kalau tuhan menciptakan suatu dinding yang Dia sendiri tidak mampu untuk melompat melepasinya, pertikaiannya bukanlah kepada had kekuasaan-Nya tetapi kepada pendefinisian, bagaimana Dia layak menjadi tuhan? Kita perlu muhasabah kembali kerana barangkali telah tersilap ‘memilih’ perkara yang disandarkan selaku tuhan. Seperti kata seorang ilmuwan, tuhan itu kalaulah semua manusia baik yang di zaman dahulu sehinggalah ke zaman yang kemudian berkumpul dan bersatu menyembah tuhan, kemuliaan-Nya tidak akan bertambah walaupun satu darjat. Jika pula semua manusia tersebut berkumpul dan mencerca tuhan atau bersetuju untuk memilih yang lain sebagai tuhan, kemuliaan-Nya tidak pula akan turun walaupun satu darjat. Begitulah keadaannya, kerana tuhan tidak berhajat kepada apa-apa yang diciptakan-Nya.

Menafikan hakikat di atas sesungguhnya adalah perkara yang paling tak masuk akal.

Kesimpulannya, persoalan-persoalan pokok mengenai ketuhanan sentiasa mempunyai jawapan yang jelas selama mana manusia sedia membuka fikirannya kepada kebenaran. Jika prinsipnya adalah menegakkan apa-apa yang diyakininya secara warisan, tidak ada daya yang mampu menembusi ‘keras hatinya’ itu melainkan hidayah serta petunjuk daripada tuhan sahaja. Jika tuhan menghendaki, maka tidak ada apa yang mampu menyekatnya.

Tuhan itu hanyalah satu, tidak dua, tiga, atau empat. Hanya Allah tuhan yang satu. Seperti yang dipetik daripada al Quran iaitu kitab suci umat Islam :

Katakanlah bahawa tuhan itu satu.
Kepada-Nya bersandar segala makhluk.
Ia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.
Tidak ada suatu apapun yang setara dengan-Nya.
(surah al Ikhlas, 112; 1-4)



Wallaahu 'alam.

Terima kasih kerana sudi membaca post saya.

-Imran Arif

Saturday 7 January 2012

Sains vs Alam dan Manusia


Memandang ke langit pada waktu malam sambil memerhatikan bintang-bintang adalah satu pengalaman yang sangat luar biasa. Hati terasa tenang, minda terasa lapang. Dan kalau kena masanya, dapat melihat tahi bintang melintasi skrin angkasa yang maha luas ini. Rasa indah yang tak terhingga.

Lantas secara semulajadinya lahir satu perasaan ingin tahu: Siapakah yang telah menciptakan semua keindahan ini?

Alam yang hebat ini, tak mungkin wujud tanpa pencipta.

20 tahun yang lalu ketika saya berada di tahun 4, saya telah diajarkan dengan satu mata pelajaran yang disebut Alam dan Manusia. Kandungannya tidak berbeza atau tidak banyak berbeza dengan mata pelajaran Sains yang menggantikannya tidak lama selepas zaman saya. Sampai ke hari ini.

Sama ada Sains atau Alam dan Manusia, kedua-duanya mendidik saya mengenali alam sekeliling yang wujud sama ada secara semulajadi atau yang diciptakan manusia. Flora dan fauna, langit dan lautan, kenderaan, komputer dan telefon... kesemuanya mengkagumkan saya. Bagaimana haiwan bertabiat, pokok menyerap cahaya kemudian mengeluarkan dedaunan dan buah-buahan. Bagaimana sungai mengalirkan air ke satu arah dan mengumpulkannya di laut dan lautan. Bagaimana burung-burung terbang di udara. Bagaimana bahan-bahan ciptaan manusia seperti kereta, basikal, komputer dan telefon dicipta dan berkembang. Sungguh mengkagumkan.

Kekaguman demi kekaguman yang wujud dalam diri saya telah mencambahkan soalan demi soalan. Saya menjadi semakin ingin tahu, bagaimana semua ini boleh ada? Apa yang membuatkan semua ini indah dan hebat-hebat belaka? Soalan-soalan seumpama ini disusuli oleh ribuan soalan lagi, dan ada antaranya yang saya tak pasti bagaimana nak menyoalnya. Tak selalunya saya dapat susun ayat dengan betul, untuk bertanyakan soalan yang sepatutnya.

Apabila saya menjadi semakin dewasa, saya menyaksikan Sains terus memberikan sumbangan kepada perkembangan hidup manusia. Suatu ketika dahulu jika peti televisyen sudah dianggap canggih sebab dapat memancarkan gambar-gambar bergerak melalui pancaran cahaya, kini ia sesuatu yang sudah ketinggalan jika dibandingkan dengan siaran-siaran yang dapat ditonton melalui gajet-gajet mudah alih seperti telefon bimbit. Jika dahulu setiap urusniaga perlu berlaku empat mata, kini kemudahan online dapat menyelesaikan hampir semua pesanan dan dapat menyiarkan iklan dengan lebih berkesan.

Inilah kebaikan apa yang disebut teknologi, iaitu aplikasi daripada pengetahuan sains hasil pemerhatian dan kajian manusia ke atas alam semulajadi.

Akan tetapi kita sedia maklum, bahawa teknologi tidak sunyi daripada turut membawa masalah ke dalam kehidupan. Sebagai misalnya jalan raya. Jalan raya adalah suatu teknologi. Ia memberi kemudahan untuk pengangkutan dan pergerakan kita dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain dengan lebih baik, selamat, dan selesa berbanding jalan yang tidak berturap. Namun ada saja di kalangan manusia yang tergelincir hatinya, menjadikan jalan raya tempat untuk mempamerkan skil yang melanggar undang-undang dan membahayakan nyawanya dan orang-orang lain. Jalan raya dijadikan tempat untuk orang-orang yang gagal mengawal hatinya sebagai tempat untuk melepaskan rasa marah atau rasa sedih dengan memandu secara berbahaya. Memandu terlalu perlahan tidak juga menjanjikan keselamatan di jalan raya. Kadang kala memandu perlahan juga boleh menjerumuskan si pemandu atau pengguna-pengguna jalan raya yang lain kepada bahaya. Maka, pandulah secara sederhana.

Begitu juga dengan teknologi komputer, internet, pemain cakera, dan lain-lain lagi. Kesemuanya ada faedah yang tersendiri kepada manusia. Ia meningkatkan kualiti hidup kita secara fizikal, tetapi tidak memberi jaminan dari segi rohani. Kalau seorang kanak-kanak diberikan masa yang sederhana untuk bermain permainan video contohnya, akalnya boleh berkembang dengan imaginasi kreatif. Kalau terlampau kerap dan lama, boleh tumpul pula kepekaannya kepada persekitarannya.

Sebenarnya teknologi adalah 'alat' untuk kita mencapai sesuatu matlamat. Kalau pernyataan ini dapat difahami dengan betul, maka kita tidak akan menuding jari bulat-bulat kepada teknologi (kebanyakan teknologi) sebab membawa mudharat kepada kehidupan kita, anak-anak kita, atau masyarakat kita. Jika teknologi pisau yang ditemukan oleh entah siapa pada entah-entah tahun yang lampau kita gunakan untuk memudahkan kerja-kerja kita di dapur dan dengan makanan itu mengenyangkan kita, maka baiklah penggunaan pisau itu. Sebaliknya kalau pisau itu digunakan untuk mencederakan orang lain, jelasnya itu salah dan mudharat.

Jika teknologi sudah dapat difahami sebagai 'alat' untuk mencapai sesuatu tujuan yang kita tentukan, apakah bezanya dengan anggota dan pancaindera pada tubuh badan yang kita miliki? Tangan kita, jika digunakan untuk menyambut tangan ibu kita misalnya setelah beliau pulang dari pejabat (atau kebun), tentulah mulia tangan tersebut. Kaki kita, jika tujuan kita melangkah ke sesuatu tempat itu untuk membuat celaka misalnya ke bilik hotel dengan pasangan bukan suami/isteri kita, kaki itu sendiri menjadi saksi bahawa ia telah disalah gunakan. Maka celakalah kita.

Dengan demikian, persoalan asas yang patut diselesaikan segera ialah memahami apakah tujuan teknologi itu diciptakan. Boleh dikira jelas bahawa kebanyakan teknologi yang manusia cipta, selain untuk membawa keuntungan kepada industri yang mengusahakannya, adalah bertujuan menyelesaikan tujuan-tujuan yang khusus. Peti sejuk dicipta untuk membekukan barang-barang yang disimpan di dalamnya atau mengekalkan kesegaran makanan ke suatu tempoh yang lebih lama. Telefon dicipta untuk menghubungkan dua orang yang berada jauh yang tidak dapat mengatasi had laungan suara mereka untuk berkomunikasi (dan menghubungkan dua orang yang dekat jika mahu bergosip tanpa didengari pihak lain). Pemanas air dicipta supaya mereka yang tidak tahan dengan air sejuk tetap dapat mandi di awal pagi.

Mengambil tujuan-tujuan yang khusus seperti dalam contoh-contoh di atas selalunya tidak dapat memberikan  gambaran yang menyeluruh tentang tujuan paling asas mengapa alam yang maha hebat ini diciptakan, dan mengapa, mengapa, mengapa kita diciptakan. Apakah tujuannya? Adakah apa yang kita perbuat selama ini, menggunakan tangan untuk berbuat itu dan ini, menggunakan mata, telinga, lidah untuk itu dan ini, serta menggunakan alat-alat teknologi yang dicipta saintis seperti kereta, telefon, kad kredit, untuk begitu dan begini, adalah kerana kita SUKA untuk buat atau adalah kerana kita PATUT buat? Jika semua orang berasa berhak untuk buat apa yang mereka suka buat, kelak tentu huru-hara dunia ini. Tetapi jika semua orang berbuat seperti yang patut mereka buat, kesejahteraan tentu dapat kekal sampai bila-bila. Namun hakikatnya perkara ini mustahil untuk berlaku. Setiap manusia ada kehendaknya sendiri yang sanggup dikompromi berbanding apa yang PERLU dan MESTI dia buat selama jantungnya masih berdenyut.

Jika masing-masing kita bersetuju untuk mengatakan bahawa alam yang maha hebat, tersusun setiap inci daripadanya dengan sungguh molek dan sempurna, penuh dengan misteri dan mempesonakan ini lahir daripada kebijaksanaan tuhan, kita sudah menjadi separuh cerdik. Yalah, jika tuhan tidak wujud, dari mana datangnya setiap atom, zarah-zarah, yang bercantum bertemu dengan satu sama lain mengikut nisbah dan aturan yang sungguh terkawal dan terancang demi membentuk fasa-fasa gas, cecair, dan pepejal sehingga terbentuknya tanah tempat kita berpijak, sistem-sistem bintang di angkasa, dan alam semesta ini keseluruhannya? Melalui chance? Secara kebetulan? Ahh, gila jawapan-jawapan seumpama ini. Tuhan mesti wujud kalau kita perbahaskan dengan penuh jujur dan dengan hati yang terbuka.

Maka kalau tuhan wujud, tentu tuhan sudah sediakan tujuan-Nya menciptakan alam ini, setiap inci daripadanya, serta juga tujuan-Nya menciptakan manusia, tidak begitu? Tuhan mustahil berbuat sesuatu tanpa tujuan, seperti kita memandu di pagi Ahad tanpa tahu hala tuju. Tuhan Maha Cerdik dan sudah tahu sejak dari mula ke mana ciptaan-ciptaan akan pergi dan di mana akan berakhir. Lalu sebagai tuhan, apa mungkin dibuat-Nya alam ini lengkap selengkapnya, canggih secanggihnya, molek semoleknya tanpa tujuan?

Apabila seorang jurutera kereta merekabentuk, mencipta, dan membina sebuah kereta, tidak wajar baginya membuat sebuah kereta yang hebat tetapi tidak disediakan manual penggunaan kepada pembeli kereta itu. Kecanggihan kereta itu, sama ada tidak dapat digunakan oleh pembelinya kerana tidak mahir, atau cara menggunakannya merosakkan kereta itu, boleh berlaku sekiranya si jurutera tadi tidak mendidik si pembeli menerusi pandu uji, manual, dan seumpamanya. Setiap alat yang dicipta manusia, ada cara tertentu untuk menggunakannya supaya penggunaannya optimum, dapat diservis semoga tahan lama, serta tidak membawa kecelakaan atau mudharat kepada sesiapa. Begitulah logiknya.

Maka logiknya lagi, tuhan setelah DIA menciptakan alam yang luas ini dari segala sistem-sistem gergasi seperti galaksi, nebula, dan bintang-bintang, sehinggalah kepada sistem-sistem yang melampau halusnya seperti cap jari manusia, DNA, urat-urat daun, bakteria dan virus, dan partikel-partikel seni, tentulah ada menyediakan juga manualnya. Bagaimana patut kita menguruskan dunia ini, bagaimana patut kita berinteraksi dengan sesama kita, bagaimana patut kita menguruskan masa kita... semuanya ada dinyatakan tuhan dalam manual tersebut. Jika manual yang sudah tuhan sediakan ini diguna pakai dengan betul, maka kita telah mengecap kecerdikan yang separuh lagi. Lengkaplah kecerdikan kita.

Mari kita kembali kepada topik asal kita iaitu faedah sains dalam kehidupan kita seharian. Banyak sekali. Bagaimana dengan risiko? Juga tidak terhitung banyaknya. Sekali lagi, apakah semua ini salah sains dan teknologi? Ohh, sudah tentu sains dan teknologi hanyalah alat, sebagaimana motosikal kita pandu untuk ke pejabat atau untuk merempit. Pilihan baik atau buruk akibat sesuatu alat itu ada di tangan kita. Ia menjadi pilihan masing-masing.

Setelah menyedari hal ini, saya kira walaupun niat mengubah nama mata pelajaran Alam dan Manusia (jika ya) kepada Sains adalah ikhlas dan baik, saya berpendapat lebih baik untuk dikekalkan yang lama. Sains menceritakan tentang sikap manusia ke atas alam semulajadi yang dikemudiannya diterjemahkan kepada hasil-hasil teknologi, sementara Alam dan Manusia menceritakan tentang manusia sebagai amanah tuhan untuk menguruskan dunia ini yakni alam, menuju kepada kehendak-Nya. Lebih sempurna dan bertujuan bunyinya. Apa yang tuhan suruh, dibuatnya manusia walaupun sukar sekali. Dan apa-apa yang dilarangnya, dijauhinya biarpun nyawa menjadi galang ganti - kerana kasihkan tuhan. Alam dan Manusia memberi SEBAB (yakni direction) kepada teknologi-teknologi yang ada di tangan kita, supaya kita tidak kecundang ketika menggunakannya.

Kerana itulah Allah menurunkan al Quran, kitab suci yang lengkap buat panduan seluruh manusia. Manual yang Allah turunkan ini adalah sangat sempurna dan tiada sebarang cela walaupun sepatah baris.


Wallaahu 'alam.

Terima kasih kerana sudi membaca post saya.

-Imran Arif

Thursday 5 January 2012

Ada Apa Dengan Masa


Ada banyak petikan kata-kata hikmat yang kita biasa dengar berkenaan masa. Antaranya "Masa itu emas", "Masa ibarat mata pedang", "Masa mengatur segalanya daripada berlaku serentak", dan pelbagai lagi.


Apa yang pasti, semua manusia mengakui akan kepentingan masa. Seorang ayah di kala ia telah renta, mungkin menyesali masa mudanya kerana kurang memberi perhatian ketika anak-anaknya membesar. Seorang pelajar selesai menduduki ujian atau selepas zaman persekolahan, mungkin menyesali peluang yang dia ada dahulu untuk berusaha mendapat lebih banyak ilmu atau keputusan ujian yang lebih baik. Seorang pelabur di kala peluang untuk membuat pelaburan telah berlalu atau keuntungan pelaburan telah beralih arah, mungkin menyesali keputusan yang telah dibuatnya kerana kurang maklumat atau kerana ketamakannya. Dan bagi seorang penulis, penyesalannya mungkin pada sikap bertangguhnya untuk mencoret dengan segera buah fikiran yang jarang-jarang terfikirkan yang mungkin tidak akan menjengah lagi ke minda.

Masa menyaksikan manusia sentiasa berasa kesal dengan apa-apa yang telah diusahakannya. Sentiasa sahaja kita melahirkan kata-kata seumpama ‘Kalaulah tadi aku buat begitu dan begini’, ‘Kalaulah tadi aku cepat sedikit’, ‘Mengapa tadi aku tidak terfikir’, dan seterusnya. Hakikatnya, masa yang dikesalkan itu telahpun berlalu dan ia tidak akan kembali lagi.

Di dalam al Quran al Karim iaitu kitab suci umat Islam, ada dinyatakan dengan terperinci perihal masa. Terjemahan amnya adalah seperti berikut :


Demi masa !
Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian !
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Yakni mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran.
Dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
(surah al Asr, 103:1-3)

Jika diteliti pada ayat-ayat yang dinyatakan tuhan di atas, walaupun ditegaskan bahawa manusia itu seluruhnya berada dalam kerugian, terdapat pengecualian ke atas dua kelompok manusia. Pertamanya mereka yang beriman dan keduanya mereka yang mengerjakan amal bakti. Dan kemudiannya dijelaskan mereka yang tergolong dalam golongan-golongan ini adalah mereka yang saling mengingatkan dengan kebenaran serta kesabaran.

Bahagian pertama yang mensyaratkan bagaimana untuk terkecuali daripada menjadi rugi adalah agak mudah untuk diterima akal. Apabila kita saling mengingatkan dengan kebenaran, kita akan berkata benar, menyampaikan ilmu yang tulen dan benar tanpa bohong atau rahsia, menerangkan hakikat penciptaan alam atau penemuan manusia yang sebenar, dan bersaksi mengesakan tuhan yang sebenar dan selayaknya. Tidak ada bahagian dalam hidup kita yang tidak benar melainkan yang benar belaka - supaya kita memenuhi syarat pertama untuk tidak ada penyesalan terhadap masa. Dan untuk tergolong dalam golongan 'benar' ini, kita perlulah berilmu. Orang-orang yang jahil, mustahil dapat berkata benar walaupun apa-apa yang tidak benar dalam bicaranya bukan lahir dengan kesengajaannya. Tuhan rupa-rupanya bukan sekadar memaklumkan kepada kita syarat-syaratnya, tetapi juga panduan untuk kita melaksanakan tanggungjawab melaksanakan hal 'kebenaran' tersebut. Kita perlu dilengkapi ilmu.

Namun, bahagian kedua untuk memenuhi syarat menjauhi penyesalan ke atas masa adalah agak mencabar akal biasa. Mengapa dalam banyak-banyak perkataan, tuhan memilih perkataan 'sabar'? Apa mahalnya nilai sabar dalam hidup kita? Sabar bunyinya lemah, tidakkah begitu? Orang-orang yang terpaksa bersabar adalah orang-orang yang tidak punya kuasa untuk merubah keadaan yang terjadi ke atasnya. Bukankah demikian? Jika dia dibuli misalnya, dia terpaksa merasai tekanan dan kesakitannya. Jika seorang penguasa menolak permohonannya untuk apa-apa atas sebarang sebab yang gila, asanya akan habis di situ sahaja. Hanya bersabar yang tinggal sebagai pilihannya.


Justeru, sabar adalah keadaan yang tepaksa dipilih oleh orang-orang lemah yang tidak mempunyai pilihan lain. Akan tetapi sekiranya ini benar, mengapa tidak disyaratkan 'kuat' dan 'berkuasa', atau 'berpengaruh', atau 'hebat' untuk tidak berasa kesal terhadap masa?

Saya harap anda bersetuju untuk kita calibrate dahulu pemikiran kita sebelum menjawab persoalan yang kritikal ini supaya jawapannya nanti jujur dan tidak miring. Sesungguhnya tuhan itu, kerana kedudukan-Nya adalah selaku tuhan, selayaknya Dia sempurna daripada sebarang kesilapan. Tuhan mesti kekal bersifat tuhan tanpa mengira zaman. Tuhan tidak tidur dan tidak makan. Tuhan tidak berhajat kepada sesiapapun kerana selain tuhan, kesemuanya adalah makhluk dan makluk tidak boleh diletak sebagai sandaran. Makhluk sifatnya tidak sempurna. Bagaimana cantik atau gagah atau hebat sekalipun sesuatu makhluk itu, ia tetap akan susut dan musnah apabila berlalunya masa. Tetapi tuhan tidak demikian. Oleh itu jika ada pertembungan kefahaman antara apa-apa yang telah ditetapkan tuhan dengan kewarasan kita, maka kita perlu muhasabah di mana atau apa yang telah kita tertinggal untuk berada selari dengan ketetapan-ketetapan tersebut.

Maka, tidak ada sebarang kesilapan sebenarnya apabila tuhan memilih 'sabar' sebagai syaratnya, sebagaimana yang sedang kita bincangkan. Sifat sabar itu sebenarnya konklusif, mempunyai makna yang menyeluruh, dan memenuhi kesemulajadian tuhan selaku pencipta dan kita selaku makhluk-Nya. Tuhan selaku pencipta, wajib untuk-Nya mengetahui perkara-perkara yang belum berlaku kerana tuhan tidak tertakluk dengan batasan masa - sedang tuhan yang menciptakan masa. Biarpun kita belum membuat keputusan sama ada hendak menerima tawaran kerja atau menolaknya, tuhan telah sedia tahu apa pilihan kita. Ini disebabkan tuhan apabila ia menciptakan masa, ia menciptakannya dengan 'kadar', yakni kata akar kepada 'takdir' atau ketetapan. Tuhan telah sedia menetapkan segalanya biarpun ia belum bermula.


Jadi, ada apa dengan masa?

Pada masa terkandungnya sifat tuhan iaitu 'yang menetapkan ketentuan' atau 'yang menentukan ketetapan'. Masa begitu berharga kerana masa adalah satu-satunya kuantiti fizik yang tidak dapat dibentur. Masa tidak dapat diubah untuk menjadi lebih awal hatta sesaat sekalipun, begitu juga untuk dilewatkan pada sebarang kadar. Jika kita berada pada suatu keadaan yang membuatkan kita berasa bahawa masa sedang berlalu terlalu cepat, seperti semasa kita sedang di dalam dewan peperiksaan, atau berlalu terlalu perlahan, seperti semasa kita sedang melakukan kerja yang membosankan, kerelatifan itu hanyalah berlaku di dalam minda kita sahaja. Hakikatnya masa bergerak pada kadar kuantiti yang sama dengan kualiti yang berbeza.


Kerana masa mengandungi sifat 'Qadar' tuhan, maka setiap kali kita teringat akan masa atau ketika kita sedang menggunakan masa (dan kita sentiasa sahaja menggunakan masa selagi kita bernyawa), kita sebenarnya sedang berhubungan dengan tuhan. Melalui masa, kita sangat dekat dengan tuhan. Masa mendidik kita supaya sabar menerima apa-apa ketentuan setelah kita berusaha mendapatkannya. Usaha itu sebagai hak kita. Keputusannya adalah hak tuhan, dan tuhan sentiasa menyediakan untuk kita pilihan yang tepat dan terbaik. Tidak pernah diberikan-Nya kepada kita walau pilihan kedua terbaik. Sabar sesungguhnya bukanlah sifat orang lemah, malah sifat orang yang gagah mengawal jiwanya menerima ‘pemberian’ tuhan kepadanya – dalam apa jua bentuk sama ada baik atau buruk pada kaca matanya. Things don't always come our way, by the way.

Apabila kita telah meletakkan usaha yang sehabis baik untuk mencapai sesuatu, tuhan memberi ganjaran ke atas usaha kita itu, walaupun belum dapat dijamin apa keputusan tuhan untuk perkara tersebut. Sebab itulah orang bijak pandai ada mengatakan, it’s not what you have that matters, it’s what you do with what you have. Apabila kita bertemu dengan tuhan di suatu masa nanti, tuhan tidak akan bertanya 'Mengapa kamu tidak cantik' atau 'Mengapa kamu tidak kaya' dan seumpamanya, tetapi tuhan akan tanyakan 'Apa yang telah kamu perbuat dengan kecantikanmu' dan 'Ke mana kamu belanjakan kekayaanmu'. Tuhan tidak berasa hairan dengan apa yang kita miliki, tetapi dengan apa yang kita perbuat dengan apa yang kita miliki. Jika kita 'membelanjakan' kelebihan tersebut ke jalan tuhan, tentu tuhan merahmati dan menerima amal bakti tersebut. Jika sebaliknya, maka terserahlah kepada tuhan untuk mengampuni atau memberi hukuman.

Orang-orang yang merenung tentang masa akan menyimpan keazaman untuk bersedia sebelum tibanya masa pertemuan dengan tuhannya. Bahkan, orang-orang tersebut tidak berasa gusar untuk menghadapi saat-saat akhir riwayatnya sebab dia begitu merindukan pertemuan dengan sang penciptanya.


Masa mentertibkan kewujudan. Sebelum masa tercipta, tuhan telah sedia ada. Dan ketika masa terhenti di suatu ketika nanti, tuhan tetap kekal ada. Tuhan mendahului dan mengakhiri. Masa diciptakan berada dalam genggaman tuhan kerana tuhan memiliki masa, dan masa berdetik mengikut kehendak-Nya.


Jadi, ada apa dengan masa? Sesungguhnya, hakikat sebenar akan masa hanyalah di sisi Allah yang Maha Mengetahui.



Wallaahu 'alam.


Terima kasih kerana sudi membaca post saya.


-Imran Arif