Wednesday 4 January 2012

Perkara Yang Paling Masuk Akal


Ada satu soalan yang telah singgah ke fikiran saya sepanjang semalam. Soalan tersebut adalah "Apakah perkara yang paling masuk akal di dunia?".

Bagi menjawab persoalan ini, terlebih dahulu beberapa kriteria untuk memungkinkan pernyataannya diterima oleh sesiapapun dengan menolak umurnya, tahap pendidikannya, kehidupan bersosialnya, kesihatan atau kesempurnaan tubuh badannya, bangsanya, tutur percakapannya, tanah tumpah darahnya, di zaman bila kehidupannya, jantinanya, pengalaman-pengalaman yang telah dilalui dalam hidupnya adalah dengan menjauhi kelompok orang-orang yang dikecualikan.

Tentu sekali ada pengecualian kelompok orang yang tidak mungkin mampu menjawabnya; yakni orang yang sudah hilang kewarasan akalnya, orang yang tidak jujur dengan jawapannya, orang yang belum sempurna akalnya seperti kanak-kanak yang masih kecil, dan orang yang dapat berfikir dengan sihat tetapi tidak berupaya menyampaikan buah fikirannya kepada masyarakat am kerana terlalu sulit konsep pemikirannya. Selain daripada golongan ini, jika ditanyakan soalan di atas maka jawapan yang diberikan akan kembali kepada makna yang sama. Ataupun jika selepas ditanya dan segera dinyatakan jawapan kepada mereka, mereka yang selain daripada golongan tersebut tidak dapat membantah apa-apa. Perbincangan mungkin berlaku namun hasil perbincangan itu diibaratkan seperti putaran roda - ke titik yang sama ia akan kembali.

Sebelum saya berkongsi apakah hujahnya sebagaimana yang saya peroleh menerusi pendidikan dan pengalaman-pengalaman hidup yang saya timba, mari kita buat beberapa percubaan untuk merasionalkan pernyataan yang akan saya kongsikan sebentar lagi.

Kita cuba dengan air yang diisikan dalam sebuah bekas dahulu. Apabila bekas tersebut kita balikkan tentunya air tadi akan tumpah. Dalam keadaan semulajadi, perkara ini berlaku kepada sesiapa sahaja di mana-mana pun bahagian Bumi. Namun setelah sains moden semakin berkembang, manusia mula faham bahawa air tersebut hanya dapat tumpah apabila graviti wujud di tempat tersebut. Jika kita berpeluang ke angkasa lepas untuk mengulangi ujikaji ini sambil mengharapkan keputusan yang konsisten dengan yang di Bumi tadi, tentu sekali kita akan kecewa.

Mari kita lanjutkan perbincangan kepada percubaan yang kedua pula. Bagaimana dengan setiap kali butang loceng dipicit, loceng akan berdering? Dalam perenggan di atas kita telah bertemu dengan satu istilah yang dapat dipakai sebagai satu kriteria penting - konsistensi. Jadi, apa dia kriteria yang dapat mengukur konsistensi dalam hal loceng berdering bila dipicit ini? Sekali lagi, kalau loceng ini dipicit dalam satu ruang hampagas (tanpa udara, vakum), maka hampalah kita untuk memperoleh hasil yang serupa.

Kedua-dua percubaan di atas, yang pada asasnya berbunyi sungguh munasabah pada akal, apabila dititik tolak, dicuba buat pada tempat yang berubah, sudah menjadi mendatar. Erti munasabah, rasional, dan logik tidak dapat kekal pada kedua-dua perkara di atas. Saya mengerti bahawa penjelasan-penjelasan sains mendokong perbezaan-perbezaan hasil tersebut akan tetapi, dapatkah sains menjelaskan hakikat perkara-perkara sedemikian kepada mereka yang bukan ahli? Sains sendiri bermaksud sikap, dan sikap yang dimaksudkan dalam disiplin ilmu sains adalah sikap yang terkawal dalam membuat pemerhatian ke atas alam sekeliling. Sains bukan kesimpulan hidup. Selalu kita lihat apa yang kita pakai sebagai FAKTA sains pada hari ini boleh berubah di kemudian hari. Science facts yang datang daripada akal para saintis barangkali sebenarnya hanyalah science thoughts sahaja. Fakta sifatnya kekal tidak berubah. Kalau boleh diubah-ubah lagi, tidak sesuai ia dipanggil fakta. Sebahagian fakta yang kita bersandar padanya sebenarnya adalah bersifat relatif. Ia bergantung pada masa dan tempat untuk dibuktikan benar.

Ohh, kalau begitu secara kebetulan percubaan kita telah masuk kepada yang ketiga! Sains yang sifatnya logikal dan tersusun itupun, bahkan boleh dicabar kewarasannya sebab ia bersifat progresif. Apa yang tidak mungkin pada ribuan tahun yang lalu telah dijadikan konkrit pada hari ini. Lihat sahajalah di sekeliling kita bahkan pada diri kita sendiri. Telefon bimbit, komputer, sistem GPS, dan pelbagai lagi. Perkara yang tidak kekal tidak boleh dianggap sebagai jawapan mutlak kepada soalan yang sedang kita bincangkan sekarang.

Lantas, apa lagi yang tinggal jika sains yang sifatnya moden dan canggih itu pun dapat disangkal selaku perkara yang masuk akal?

Justeru saya hadirkan pandangan saya, bahawa perkara yang paling asas yang dapat dicerna oleh akal yang waras dan jujur, adalah bersaksi bahawa...

Tiada Tuhan Melainkan Yang Satu !

Inilah sebenarnya perkara yang paling masuk akal. Sangat mudah dipersetujui, bukan? Jika tidak, selain faktor hidayah daripada tuhan, dengan izin tuhan saya boleh meyakinkan anda bahawa sesungguhnya inilah perkara yang kekal konsisten, paling rasional untuk anda dan semua manusia bersaksi dengannya tanpa gagal, tanpa mengira bahasa lidah anda, warna kulit anda, di zaman mana anda hidup, walaupun di zaman apa yang disangka orang sebagai 'zaman batu'.

Pertama, perlu disaring dahulu adakah anda meyakini bahawa tuhan itu ada? Jika tidak, saya kira anda belum cukup membuat pemerhatian dan belajar daripada alam sekeliling dan pada diri anda sendiri. Cukup jelas sebenarnya, perkara-perkara yang tidak terlihat oleh mata, tidak terdengar oleh telinga, tidak tercapai oleh deria rasa, belum tentu tidak wujud. Udara sebagai misal, kewujudannya tidak dapat dilihat oleh mata tetapi boleh dirasa hembusannya. Cahaya, tidak tedengar oleh telinga tetapi kehadirannya dapat diukur oleh mata dan kadang-kadang kepanasan yang terkandung di dalam partikel-partikel yang dibawanya dapat dirasa oleh kulit kita. Lebih mencabar, perkara-perkara seperti buah fikiran, masa, rasa kenyang, gembira, sedih, puas, bahagia... semuanya ibarat konsep-konsep abstrak yang tidak konkrit namun kita tidak menafikannya. Kita mencari kaedah untuk merasionalkan kehadiran perasaan-perasaan tersebut justeru menjadikan semua itu sebagai 'perkara biasa'.

Jika anda seorang yang percayakan tuhan, soalan saya adalah, tuhan yang bagaimana anda letakkan sebagai sembahan? Sempurnakah tuhan yang kita andaikan sebagai tuhan itu? Layakkah tuhan itu menjadi tuhan kita dengan memiliki sifat-sifat yang sempurna seperti Maha Penyayang, Maha Penyabar, Maha Kuasa, Maha Hidup dan tidak akan pernah mati serta rehat? Adakah tuhan kita itu hanya mencipta kita dan alam ini sebagai tempat kita berlabuh dan meneruskan kelangsungan hidup, tanpa menyediakan panduan untuk kita berbuat itu dan ini? Ada atau tidak tuhan menyediakan nasihat-nasihat dalam panduannya itu ketika kita kesusahan? Ada atau tidak tuhan kita itu menyediakan amaran-amaran ketika kita lalai dan leka? Bagaimana dengan janji-janji terhadap perkara ghaib seperti ganjaran terhadap perbuatan yang baik dan buruk serta pertemuan dengan tuhan di akhir garis masa nanti? Adakah semua persoalan yang patut kita tahu dan tuhan kehendaki untuk kita laksanakan terdapat dalam life manual tersebut?

Kita tidak boleh gagal menjawab persoalan-persoalan seumpama di atas sekiranya kita mahu menemukan hakikat kepada perkara yang paling masuk akal.

Sesungguhnya ada beberapa manusia istimewa yang telah diangkat darjatnya oleh tuhan untuk menyampaikan satu perkara tulen yang kekal konsisten, rasional, dan konklusif di sepanjang zaman kepada seluruh manusia yang diciptakan. Tuhan tidak pernah gagal membimbing manusia, di zaman apapun ia diciptakan, untuk ia kenal tuhannya menerusi alam dan pada penciptaan dirinya sendiri. Setiap manusia istimewa tersebut diberikan tuhan suatu kunci penyaksian kepada perkara yang paling masuk akal, tidak kiralah manusia istimewa itu bekerja sebagai petani, nelayan, tukang jahit, pembesar negeri bahkan raja, peniaga, ataupun penggembala haiwan ternakan... iaitu bersaksi bahawa Tidak Ada Tuhan Melainkan Yang Satu!

Jika anda merenung sejenak, perkara hakikat ini jugalah yang mendasari bidang ilmu hisab (matematik), menjadi bahasa yang piawai kepada sains bahkan kepada sistem komputer. Bahasa binari sesungguhnya lahir daripada penyaksian ke atas perkara yang paling masuk akal ini - tidak ada (0) melainkan satu (1).

Tuhan itu Maha Kuasa. Justeru, apapun yang telah direncanakannya haruslah kita letakkan sebagai sempurna sebagai memenuhi kelayakan-Nya menjadi tuhan kita. Tuhan itu mustahil ada dua malah tiga, empat, dan selanjutnya kerana kuasa-Nya tentu menjadi terbatas dan keputusan-Nya menjadi tidak mutlak. Jika ada ruang untuk kekuasaan-Nya dipertikaikan, tentulah konsep tuhannya tuhan itu adalah rapuh dan akan runtuh setelah akal manusia berkembang dan berkembang.

Tuhan yang benar adalah tuhan yang satu. Konsep tuhan itu satu akan kekal sepanjang zaman. Ia tetap utuh dan relevan, malah adalah perkara yang paling masuk akal biarpun dicabar oleh penemuan-penemuan sains moden. Kalimah yang disampaikan oleh manusia pertama diciptakan tuhan adalah kalimah yang akan terus disaksikan sebagai benar di sepanjang zaman oleh orang-orang yang melihat dengan 'mata hati' . Itulah kalimah...

Laa Ilaaha Illallaah - Tiada Tuhan Melainkan Allah !

Dan Allah telah menyempurnakan kalimah penyaksian itu dengan...

Muhammadur Rasulullaah - Muhammad Itu Rasul Allah !



Wallaahu 'alam.

Terima kasih kerana sudi membaca post saya.

-Imran Arif