Sunday 19 February 2012

Perkara Yang Paling Tak Masuk Akal


Anda tentu pernah mendengar dari mana-mana sumber akan soalan yang seumpama ini :

Bolehkah tuhan menciptakan satu dinding yang Dia sendiri tak dapat lompat melepasinya?

Perbahasan kepada soalan ini saya kira terbahagi kepada dua. Ia boleh jadi sangat mudah dan boleh pula jadi sangat rumit dan panjang tak berkesudahan.

Marilah kita membincangkannya secara sederhana dalam ruang dan masa yang terhad (serta had pemikiran yang terhad) ini supaya dapat mencadangkan jawapan yang memuaskan hati.

Pertama sekali, kita perlu selesaikan perkara asas iaitu apakah yang kita istilahkan sebagai tuhan? Kepada siapakah selayaknya kita ‘labelkan’ sebagai tuhan itu, dan apakah tuhan itu sifat-Nya kekal sebagai tuhan kalaupun sesuatu yang lain mencuba menafikan kewujudan-Nya seta kekuasaan-Nya?

Akal yang paling waras tentu sekali-kali tidak akan berdiam diri daripada menyatakan bahawa yang dianggap tuhan itu tentulah sifat-Nya sempurna berbanding apa sahaja yang dimiliki oleh makhluk. Jika sebarang makhluk dapat melihat had dan keterbatasan kuasa sang tuhan tadi, tuhan itu tidak boleh dianggap sebagai tuhan yang mutlak. Kalau ada yang lebih tinggi darjat dan had kuasanya berbanding yang dianggap tuhan tadi, tentulah tuhan itu tidak mampu bertahan untuk menjadi tuhan lagi. Ia akan binasa apabila berlalunya masa.

Maka tuhan setentunya adalah sesuatu yang tidak mempunyai had atau hadnya tidak dapat kita ukur, bukannya sesuatu yang juga terkandung dalam apa-apa keterbatasan termasuklah batas masa. Dengan meletakkan sebutan ‘tuhan’ kepada apa-apa yang kita sandarkan pada-Nya harapan, pengaduan, dan permohonan, sandaran kita itu selayaknya sempurna supaya tidak ada sebarang sandaran lain yang dapat membatalkan kehendak-Nya.

Para saintis pun bersetuju bahawa manusia itu memang secara luarannya berbeza tutur bahasa, warna kulit dan ciri-ciri lain fizikal yang bersifat minor. Namun hakikatnya manusia adalah satu bangsa yang datang daripada asal yang serupa. Apabila bilangan manusia bertambah serta berkembang hingga mengakibatkan penghijrahan, bahasa ibunda terbit satu demi satu supaya memenuhi kesesuaian tempat, cuaca, kehendak, dan kesesuaian tempat baru. Seterusnya bukan sahaja bahasa komunikasi rumpun baru itu akan berkembang, keadaan serta keupayaan fizikalnya, warna mata, kulit dan lain-lainnya akan juga berkembang dalam maksud ia berasimilasi / berharmoni dengan keadaan bumi yang didiaminya.

Jika diperhatikan pula alam ini, bagaimana mungkin banyak sistem (atau lebih tepat lagi, semua sistem) dapat berintegrasi, bekerjasama dan berharmoni jika tuhan yang menciptakan setiap satunya adalah tuhan yang berbeza-beza? Kalau manusia sendiri katakan yang berada di timur diciptakan oleh tuhan timur, yang di barat diciptakan oleh tuhan barat, dan begitulah dengan yang di utara serta di selatan. Bagaimana tuhan-tuhan ini boleh datang kepada satu persetujuan bahawa ‘manusia’ yang ingin mereka ciptakan ini boleh dan/atau perlu sama posisi matanya, tangannya, dan bahagian-bahagian anggota badannya yang lain?

Tuhan yang tulen akan bersifat outstanding, iaitu kekuasaan-Nya akan terpamer melebihi segala yang lain. Jika dalam kes di atas iaitu sekurang-kurangnya ada 4 tuhan yang menciptakan manusia, kebetulan apakah penciptaan kesemuanya sama kejadiannya? Dan dapat pula manusia yang di timur dan di barat serta di utara dan selatan itu saling berkenal-kenalan dan kemudian jatuh cinta selanjutnya berkahwin dan mempunyai keturunan? Kepada siapa pula si anak keturunan itu patut meletakkan sembahan?

Kerana itu di kalangan para pengkaji bintang dan ilmu alam semesta ada yang mengaitkan kejadian manusia itu dengan gugusan-gugusan bintang di langit, hari lahir seseorang dengan untung nasib atau pekerjaan yang sesuai dengannya, membaca emosi serta keserasian alam dengannya, dan pelbagai lagi (walaupun membaca untung nasib berdasarkan bintang itu banyak sekali pengaruh tipu daya syaitan). Mereka yakni para pengkaji sedemikian secara tidak langsung mengakui bahawa alam ini seluruhnya berjalan atas sistem yang satu. Hanya ada satu undang-undang yang ‘mentadbir’ perjalanan seluruh bintang yang di langit, seluruh hidupan yang dibumi, serta seluruh alam ini secara keseluruhannya. Itulah yang dipercayai mereka yang jika dihalusi oleh akal yang sihat akan menjurus kepada persoalan – apakah mungkin tuhan yang wujud itu lebih daripada satu?

Bidang-bidang yang terdapat dalam sains seperti biologi, matematik, kimia dan lain-lain sebenarnya juga bukanlah bidang-bidang ilmu yang terpisah. Kesemuanya adalah ilmu yang satu dan sudah sedia wujud sejak mula lagi. Apabila manusia belajar dan belajar daripada penelitian ke atas alam sekeliling, kematangan akal manusia itu lantas berkembang dan kemudian bidang-bidang ilmu tadi terpisah dan menjadi autonomi. Ia seperti sebiji kek yang besar, kita tidak mampu mengunyahnya sekaligus dan kerana itu ia perlu dipotong kecil-kecil supaya dapat diproses oleh kemampuan badan kita. Demikianlah dengan ilmu yang dipecahkan kepada bidang-bidang yang lebih ranting – supaya manusia dapat membuat pengkhususan dan mengkajinya dengan lebih teliti lagi.

Seorang artis Inggeris yang sangat masyhur iaitu John Lennon pernah dipetik sebagai berkata bahawa “nothing is real”. Dalam bidang falsafah, pernyataan sedemikian boleh ditafsirkan sebagai nilai yang tersirat di sebalik sesuatu. Sebagai misalnya, apabila seseorang telah bekerja keras dan telah dapat mengumpulkan kekayaan, tentulah keadaannya tidak serupa dengan orang yang tidak memiliki apa-apa. Namun, kekayaan yang dikumpulkan oleh orang yang pertama tadi tidak akal kekal selama-lamanya – sama ada ia boleh habis dibelanjakan, atau kepingan-kepingan duitnya akan hancur juga dimakan zaman walaupun masanya tersangat lama, dan boleh jadi apabila suatu ketika nanti sandaran nilai kekayaan manusia sudah berubah kepada objek lain, maka orang tersebut tidak akan dinilai sebagai kaya lagi.

Walaupun pernyataan John Lennon itu ada benarnya dari satu sudut, ia tidak sempurna dari sudut yang lain. 

Barangkali John Lennon terlupa bahawa satu-satunya perkara yang kekal konsisten kerana berada di luar batas masa dan tempat – adalah tuhan itu sendiri. Kalau tuhan menciptakan suatu dinding yang Dia sendiri tidak mampu untuk melompat melepasinya, pertikaiannya bukanlah kepada had kekuasaan-Nya tetapi kepada pendefinisian, bagaimana Dia layak menjadi tuhan? Kita perlu muhasabah kembali kerana barangkali telah tersilap ‘memilih’ perkara yang disandarkan selaku tuhan. Seperti kata seorang ilmuwan, tuhan itu kalaulah semua manusia baik yang di zaman dahulu sehinggalah ke zaman yang kemudian berkumpul dan bersatu menyembah tuhan, kemuliaan-Nya tidak akan bertambah walaupun satu darjat. Jika pula semua manusia tersebut berkumpul dan mencerca tuhan atau bersetuju untuk memilih yang lain sebagai tuhan, kemuliaan-Nya tidak pula akan turun walaupun satu darjat. Begitulah keadaannya, kerana tuhan tidak berhajat kepada apa-apa yang diciptakan-Nya.

Menafikan hakikat di atas sesungguhnya adalah perkara yang paling tak masuk akal.

Kesimpulannya, persoalan-persoalan pokok mengenai ketuhanan sentiasa mempunyai jawapan yang jelas selama mana manusia sedia membuka fikirannya kepada kebenaran. Jika prinsipnya adalah menegakkan apa-apa yang diyakininya secara warisan, tidak ada daya yang mampu menembusi ‘keras hatinya’ itu melainkan hidayah serta petunjuk daripada tuhan sahaja. Jika tuhan menghendaki, maka tidak ada apa yang mampu menyekatnya.

Tuhan itu hanyalah satu, tidak dua, tiga, atau empat. Hanya Allah tuhan yang satu. Seperti yang dipetik daripada al Quran iaitu kitab suci umat Islam :

Katakanlah bahawa tuhan itu satu.
Kepada-Nya bersandar segala makhluk.
Ia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.
Tidak ada suatu apapun yang setara dengan-Nya.
(surah al Ikhlas, 112; 1-4)



Wallaahu 'alam.

Terima kasih kerana sudi membaca post saya.

-Imran Arif

No comments:

Post a Comment