Wednesday 11 April 2012

Kerja Yang Paling Sukar


Pernahkah di antara kita, dengan hanya berbekalkan kudrat dua batang tangan, mengalihkan sebuah gunung? Atau pernahkah di antara kita, dengan hanya berbekalkan alat bantuan pernafasan yang minimum, menyelam ke dasar lautan yang paling dalam? Bagaimana pula dengan bekerja sepanjang hayat tanpa sebarang rehat dan tidur? Berapa lamakah pernah kita tangguhkan tidur?

Soalan-soalan di atas memang bunyinya keterlaluan. Manusia kebanyakan tidak akan dapat memenuhi kehendak soalan-soalan sedemikian. Apa yang terkandung dalam soalan-soalan tersebut adalah kemustahilan;  kita sebagai manusia kebanyakan tidak akan sanggup untuk melaksanakannya. Tuntutan-tuntutan hidup secara langsung tidak berkehendak kepada kita untuk menyelesaikan beban-beban yang tidak dapat kita rencanakan - sebagaimana yang dimisalkan menerusi soalan-soalan di atas.

Lalu selanjutnya, mari kita menimbang pula apakah pekerjaan-pekerjaan sukar yang lain yang terkandung dalam julat kemampuan manusia biasa seperti kita. Sukarkah menempuh alam persekolahan dahulu (atau juga sekarang jika kita masih seorang pelajar)? Sukarkah pula menempuh alam pekerjaan? Manakah yang lebih sukar, menjadi seorang pelajar ataukah seorang pekerja?

Jika kita berhasrat untuk menyenaraikan disamping membahaskan dengan teliti setiap pekerjaan di dunia ini yang sukar, tentulah kita akan menemui kegagalan kerana kita akan dikalahkan oleh kematangan yang berkadar dengan masa. Kita tidak dapat hidup di semua zaman. Buah fikiran yang bersumberkan akal kita semata-mata bersifat terhad dan sentiasa saja kita silap dalam membuat penafsiran.

Perbincangan yang memuaskan tentu berkehendak kepada asas persoalan yang waras dan dapat dibina struktur ilmu tersebut hingga ke puncaknya. Persoalannya, mengapa ingin ditanyakan tentang pekerjaan yang paling sukar?

Jika kita ingin mengetahui apakah segala masa, keringat, harta, dan lain-lain milik kita telah dibelanjakan ke jalan yang seharusnya, kita mesti terlebih dahulu mengetahui serta mengambil tindakan berdasarkan soalan "Kerja apakah yang paling sukar untuk dilaksanakan?". Di sebalik soalan inilah terkandungnya rahsia, apakah kita telah bertindak, berfikir, dan berdiam menurut perjalanan ketentuan alam ini. Telahkah kita berjalan 'seiring' dengan kesemulajadian graviti, cahaya, dan tenaga (dan lain-lain kefahaman yang lebih abstrak bagi orang awam)? Telahkah kita berfikir 'seiring' dengan kesemulajadian matahari terbit dari sebelah timur dan terbenam di sebelah barat? Telahkah kita berdiam 'seiring' dengan kesemulajadian umur yang mentertibkan pertumbuhan fizikal, emosi, dan akal kita selama kita dilahirkan hingga ke saat ini?

Ada seratus atau seribu lagi perkataan ilmu yang dapat disusun untuk mengasak minda supaya membawanya ke tingkat ketersusunan yang lebih tinggi. Akan tetapi memadailah kiranya dengan beberapa contoh yang telah dinyatakan di atas. Kadang kala contoh yang sedikit sudah dapat menerangkan jalan. Contoh yang terlalu banyak tidak selalunya membantu perbincangan.

Ya, kita semua berkehendakkan jawapan kepada soalan tersebut. Kita semua tanpa ragu-ragu memerlukan jawapan itu. Jiwa kita mahu tahu, demikian juga dengan akal kita. Soalan "Kerja apakah yang paling sukar" mesti dipenuhi supaya setiap jiwa menjauhi kecewa apabila masa yang telah ditetapkan untuknya berusaha di alam pertengahan ini telah tiba ke penghujungnya.

Berdirinya gunung dengan tujuan. Terbentangnya lautan dengan tujuan. Bertaburan bintang-bintang (atau tersusunnya bintang-bintang) di angkasa juga dengan tujuan. Tidakkah kita berfikir, atau tidak terfikirkah kita?

Apabila seorang guru ditanyakan soalan kerja yang sukar, ia tentu mengakui kesukaran tugas seorang guru. Seorang guru sebenarnya bukan hanya mendidik seorang pelajar, tetapi mendidik bangsa serta keturunannya. Seorang guru bukan hanya mencurahkan ilmu, tetapi mengajarkan susunan cebisan-cebisan alam dalam usaha seseorang pelajar itu mencari 'kebenaran'. Seorang guru berjasa mencorakkan tamadun!

Jika ditanyakan pula seorang penguasa, bukan mudah kerja menegakkan peraturan. Peraturan bukan bertujuan menyekat kebebasan orang, tetapi membentuk keteraturan hidup. Kalau semua orang bebas berbuat menurut kesukaannya, tentulah kehidupan kita seperti di alam rimba. Siapa yang besar dan kuat, dia yang berkuasa. Siapa yang sedikit kawannya, akan tewas kepada yang berpengaruh. Begitulah, dan hakikatnya tugas seorang penguasa boleh jadi adalah suatu tugas yang sukar juga. Seorang penguasa yang baik menegakkan peraturan kerana mendidik masyarakat yang di bawah tanggungjawabnya. Seorang penguasa berjasa mengekalkan peradaban!

Seorang hakim pula, ketika hendak memutuskan ya atau tidak untuk sesuatu pendakwaan, berhadapan dengan saat-saat yang amat sulit kerana keputusannya akan mempengaruhi masa depan seseorang tertuduh itu. Memang benar keputusannya dibantu oleh para saksi serta bahan-bahan bukti namun kepandaiannya harus melangkaui beberapa had yang umum bagi orang-orang lain. Seseorang hakim haruslah 'istimewa' kerana kuasanya menjatuhkan hukuman serta membuat keputusan menggambarkan ilmunya yang luas dan adil terhadap kesalahan-kesalahan yang berlangsung. Kadangkala sesuatu kesalahan itu berlaku disebabkan keperluan-keperluan asas hidup seperti kerana lapar, kerana sakit, dan kerana lari daripada kezaliman. Disebabkan seseorang hakim itu 'istimewa'-lah maka kerjanya sukar. Seorang hakim juga perlu 'bebas' daripada termakan budi supaya keputusannya tidak cenderung kepada emosi. Seorang hakim berjasa mewujudkan malam-malam yang aman di sesebuah negeri!

Kalau diambil secara langsung antara guru, penguasa, serta hakim, yang manakah melaksanakan kerja yang lebih sukar? Jika setelah dibahaskan kita kemudiannya memilih satu daripada tiga pilihan pekerjaan tersebut, bagaimana pula dengan pekerjaan seperti tukang jahit? Tukang jahit juga berjasa kepada masyarakat. Tanpa pakaian yang dijahit elok, anggota masyarakat tidak dapat bekerja dengan baik pula. Tanpa jahitan yang baik, pakaian akan mudah koyak, terlalu besar, atau terlalu kecil. Pakaian juga mempengaruhi kualiti pekerjaan. Jika pakaian seorang askar tidak dijahit dengan baik, urusannya menjaga keamanan tanahair akan terjejas. Bagaimana pula dengan penggembala haiwan ternakan? Kerjanya juga sukar kerana bertanggungjawab menghasilkan ternakan yang sihat sebagai bekalan makanan kepada anggota masyarakat. Kemudian pekerjaan seorang tukang sapu, mudahkah kerjanya? Tanpa seorang tukang sapu, keceriaan hari kita boleh dibatalkan apabila melihat sampah-sampah yang tidak diuruskan. Bukan soal cantik dan indah sahaja, kebersihan juga lebih menjamin kesihatan. Jika seorang tukang sapu tidak melakukan kerjanya dengan sempurna, penyakit mudah datang dan merebak. Dan bagi orang Islam, kebersihan adalah asas dalam beribadat. Maka jika anda rasa pekerjaan seorang tukang sapu atau tukang cuci itu tidak sukar, anda mungkin tersilap meletakkan perasaan.

Begitulah. Dan kita tidak akan selesai berbahas kerana setiap satu pekerjaan itu ada kesukarannya masing-masing. Dan ada perbezaan yang penting apabila kita menyebutkan 'kerja-kerja yang sukar' dengan 'kerja yang paling sukar'.

Kerja yang sukar itu banyak sekali tetapi kerja yang paling sukar itu satu sahaja. Bagi orang-orang yang mempersaksikan bahawa tuhan itu wujud, dengan ilmu ia akan memahami bahawa setiap pekerjaannya itu adalah sebentuk pengabdian atau persembahan kepada tuhannya. Apabila ia bertutur, pertuturannya dijaga kerana disebalik manusia lain yang mendengarkan ucapannya itu, tuhan turut mendengarnya. Apabila ia berkelakuan, ia memastikan kelakuannya terpelihara menurut yang dikehendaki tuhan kerana kelakuannya terhadap orang-orang yang berurusan dengannya itu, disebaliknya adalah urusan dengan tuhan.

Setiap pekerjaan baik sebagai guru, penguasa, hakim, tukang jahit, penggembala haiwan, tukang cuci, serta lain-lain adalah pekerjaan yang diamanahkan tuhan kepada setiap anggota masyarakat. Ada orang bekerja sebagai guru, tugasnya membimbing anak-anak bangsa. Ada orang tugasnya sebagai peniaga, ia memastikan bekalan keperluan-keperluan hidup masyarakat sentiasa dicukupkan.

Kerja yang paling sukar? Adalah kerja yang penuh dengan kesedaran bahawa kerjanya adalah 'bekerja dengan tuhan'. Kerja yang paling sukar adalah bekerja sebagai hamba tuhan, yakni apa sahaja pekerjaan yang dilaksanakan menurut yang telah digariskan oleh tuhan kerana belum tentu kerja yang kita perbuat di dunia ini selama ini adalah kerja yang diredhai tuhan. Bekerjalah sebagai apapun - pemimpin negara, saintis, malah tukang cuci, semuanya perlu muhasabah akan pertemuannya dengan tuhan nanti dan tuhan akan tanyakan kembali tentang pekerjaan-pekerjaan yang dibuatnya di dunia dahulu.

Sesungguhnya kerja yang paling sukar adalah menjadi hamba Allah. Bukan mudah hendak mengekalkan diri dalam batas-batas yang telah ditetapkan Allah antara apa-apa yang disuruh serta apa-apa yang dilarang. Namun jika  berjaya dijiwai kefahaman ini, seorang imam tidak akan hanya mengimami solat di masjid tetapi turut mengimami masyarakat dalam bab kebersihan, toleransi dengan jiran, dan ujikaji-ujikaji ilmu dalam kehidupan. Seorang imam akan memimpin masyarakat dalam semua aspek kehidupan. Seorang tukang cuci pula akan melihat kerjanya bukan sekadar membersihkan sampah dan kotoran, tetapi menyediakan kawasan yang bersih untuk masyarakat selesa mendiami dan beribadat sehari-hari.

Demikianlah, memahami apakah kerja yang paling sukar membantu membetulkan hala tuju kita mencari kebenaran. Memahami hal ini adalah sebahagian usaha, sedang sebahagian lagi terletak pada melaksanakannya.


Wallaahu'alam.

Terima kasih kerana sudi membaca post saya.
-Imran Arif

2 comments:

  1. terbaik la bro...sedikit sebanyak menimbulkan kesedaran jiwa pembaca.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih. Mudah2an Allah memberkati bentuk2 penulisan mcm ni. Sebagai pencerahan buat renungan bersama (",)

    ReplyDelete